Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, melalui sistem tersebut, proses pemadanan akan dilakukan bagi mengenal pasti peluang pekerjaan untuk golongan berkenaan.

“Mereka juga akan diberi latihan bersesuaian dengan pasaran pekerjaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang tersebut dengan beberapa pindaan selepas bacaan kali ketiga oleh Richard di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Pelaksanaan rang undang-undang berkenaan akan melibatkan kira-kira 430,000 majikan dan 6.6 juta pekerja dalam sektor swasta dengan menawarkan faedah-faedah tertentu serta program penempatan pekerjaan semula kepada pekerja yang berinsurans sekiranya berlaku kehilangan pekerjaan serta menggalakkan dasar pasaran buruh yang aktif.

Menerusi rang undang-undang tersebut, semua pekerja yang kehilangan pekerjaan dan telah mencarum bagi tempoh tertentu layak menuntut bantuan kewangan daripada Sistem Insurans Pekerjaan dan perkhidmatan pekerjaan termasuk kaunseling kerjaya, carian dan penjodohan kerja, penempatan serta latihan sekiranya perlu.

Sistem Insurans Pekerjaan yang diletakkan di bawah pentadbiran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menyediakan perkhidmatan bagi program penempatan semula pekerjaan dan lima jenis faedah berbentuk bantuan kewangan seperti elaun mencari pekerjaan (EMP) pada kadar menurun daripada gaji yang diinsuranskan.

Selain itu, Sistem Insurans Pekerjaan menyediakan elaun bekerja semula awal (EBSA) bagi pekerja yang berjaya mendapat pekerjaan awal pada kadar 25 peratus daripada baki EMP. – UTUSAN ONLINE