Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat, Mohd. Farid Shah Mohd. Basir berkata, penerimaan tiga anugerah itu merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan kerana menjadi bukti komitmen dan inovasi yang dilakukan Bank Rakyat untuk membangunkan pemimpin masa hadapan dalam perbankan Islam.

“Bank Rakyat akan meneruskan inisiatif ini bagi menarik, mengekalkan dan membangunkan bakat serta pada masa sama memanfaatkan teknologi terkini dalam sektor sumber manusia agar kami dapat menyediakan tempat bekerja yang terbaik dan menarik lebih ramai bakat berkualiti untuk berkhidmat di sini.

“Bank Rakyat akan meneruskan pengambilan graduan secara tahunan untuk menjalani program latihan pengurusan The Islamic Banker bagi mencapai pertumbuhan strategik,” katanya yang turut menerima Anugerah Ketua Pegawai Sumber Manusia Terbaik pada kongres berkenaan.

Program The Islamic Banker yang dijalankan selama dua tahun itu bertujuan membangunkan pelapis dalam industri perbankan Islam dan membentuk sebuah kumpulan bakat bagi melahirkan pemimpin masa hadapan Bank Rakyat.

Dalam pada itu, Kongres HRD Dunia merupakan acara tahunan yang menghimpunkan 1,800 golongan profesional dalam industri sumber manusia daripada 133 buah negara serta daripada jenama global terkemuka bagi mempamerkan bakat sumber manusia.

Acara berprestij tersebut diadakan bagi mengiktiraf organisasi yang telah menunjukkan kecemerlangan dan inovasi dalam bidang pembangunan sumber manusia. - UTUSAN ONLINE