ASYRAF WAJDI DUSUKI
ASYRAF WAJDI DUSUKI

Upacara angkat sumpah ke­dua-dua senator itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S.A. Vignes­waran.

Majlis pada hari ini juga me­nyaksikan dua muka baharu mengangkat sumpah sebagai senator iaitu Ketua UMNO Bahagian Segamat, Zahari Sarip dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Bashir Alias.

Vigneswaran ketika berucap selepas majlis itu menegaskan, sumbangan Ahli-Ahli Dewan Negara kepada masyarakat bukan hanya diterjemahkan melalui perbahasan yang baik tetapi perlu juga patuh terhadap ikrar taat setia kepada negara khususnya prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Selain itu, tingkah laku, adab sopan dan sifat rasional penting untuk ditonjolkan dalam kala­ngan Yang Berhormat sebagai model contoh amalan terpuji,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi ketika diajukan soalan sama ada pelantikan semula itu memberi gambaran beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, beliau menyerahkan keputusan itu kepada Perdana Menteri dan pucuk kepemimpinan parti.

Katanya, sejak daripada awal dipanggil berkhidmat untuk kerajaan, hanya satu sahaja perkara yang sentiasa terpahat di fikirannya iaitu memberi sumbangan kepada agama dan negara.

“Jadi saya serah kepada Perdana Menteri dan kepemimpinan tertinggi negara serta parti untuk tentukan sama ada saya akan dipilih sebagai calon PRU-14 akan datang ataupun sebaliknya.

“Bagi saya apa sahaja ama­nah yang diberikan saya akan beri yang terbaik untuk agama dan juga negara,” jelas beliau.

Sementara itu, Zahari dan Bashir menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Bagi Zahari, beliau akan membawa hasrat serta suara kerajaan Johor manakala Bashir pula le­bih kepada isu-isu membabitkan Wilayah Persekutuan.