Surin Pitsuwan

Bekas Setiausaha Agungnya, Dr. Surin Pitsuwan berkata, ASEAN sebenarnya mampu muncul sebagai kuasa yang cergas dan berpotensi besar bersandarkan kepada saiz penduduknya.

Beliau berkata, geopolitik rantau ini turut mengalami perubahan ketara dengan kuasa-kuasa besar saling bersaing untuk menonjol di rantau ini.

“Ini menyebabkan ASEAN tidak diberi peluang untuk mempamerkan keupayaan dalam menangani sebarang isu termasuk melibatkan hal ehwal dalaman yang pada dasarnya perlu diselesaikan oleh negara-negara anggota sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Asia Eropah 2017 (AEC 2017) di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Turut hadir Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez; Pengarah Eksekutif, Institut Asia-Eropah, UM, Prof. Dr. Azirah Hashim dan Duta EU ke ASEAN, Francisco Fontan Pardo.

Surin yang juga bekas Menteri Luar Thailand berkata, kemampuan ASEAN tidak boleh diperkecilkan kerana blok berkenaan sebenarnya memiliki keistimewaan tersendiri meskipun dilabelkan sebagai masih mentah.

Beliau berkata, perkara yang penting adalah pendekatan holistik dan pragmatik dan ia perlu dilaksanakan dalam menentukan keamanan sejagat.

Krisis di Semenanjung Korea, katanya, semakin meruncing dan ia akan menjadi satu kebimbangan sejagat sekiranya berterusan tanpa sebarang jalan penyelesaian.