Perkara itu disahkan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang menyifatkan keputusan kerajaan Arab Saudi itu sebagai memberi manfaat bukan sahaja kepada Tabung Haji tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Selain perjanjian antara Petroliam Nasional Berhad (Pet­ronas) dan Saudi Aramco bernilai RM31 bilion, kerajaan Arab Saudi juga bersetuju kembalikan kuota haji dengan Tabung Haji mendapat 30,200 kuota pada tahun ini berban­ding sekitar 22,000 sahaja tiga tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menyatakan hasrat Malaysia untuk menambah kuota jemaah haji mendapat maklum balas positif daripada Raja Salman yang merupakan Penjaga Dua Masjid Suci itu.

Perdana Menteri memberitahu, baginda bagaimanapun memerlukan masa untuk membuat pertimbangan itu secara lebih mendalam.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini telah mengumumkan pengembalian semula kuota jemaah haji negara kepada 27,900 orang untuk musim haji tahun ini berbanding 22,230 sahaja sejak 2013.

Dalam pada itu, menurut Abdul Azeez, kerajaan Arab Saudi juga sedang mempertimbangkan pembinaan penginapan atau maktab untuk jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah.

Beliau berharap semua pihak khususnya rakyat bersama-sama berdoa agar perkara itu diluluskan sekali gus memberi manfaat kepada semua jemaah haji negara.