Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul menambah, aura yang ada pada Ahli Parlimen Port Dickson itu juga dilihat dapat membantu menarik sokongan pengundi terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Beliau akan berkhemah di sana, saya juga akan bersama sebagai salah seorang kepemimpinan kanan PKR dan juga selaku Ketua Whip Kerajaan, insya-Allah.

“(Personaliti Anwar) Dapat membantu dan inilah masanya khusus kepada masyarakat, Melayu khususnya untuk memberikan sokongan padu kepada Anwar. Saya yakin aura yang ada pada beliau mampu menarik pengundi Melayu untuk memberikan sokongan,” katanya.

Johari yang juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Petani berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Parlimen hari ini.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan penyandangnya sebelum ini yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Anwar baru-baru ini mengumumkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr. S. Streram sebagai calon PH pada PRK berkenaan.

Sementara itu, tambah Johari, beliau optimis PH akan dapat merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN) hasil bantuan undi masyarakat Melayu dan bukan Melayu.

“Saya tak yakin orang bukan Melayu akan beri banyak undi kepada BN dan sekiranya ini berlaku dan orang Melayu melihat ini adalah peluang untuk menzahirkan sokongan kepada Anwar sebagai bakal Perdana Menteri, PH ada kelebihan.

“Oleh kerana kali ini PKR yang bertanding, Anwar menjadi Presiden kepada parti ini, saya kira Anwar mampu menarik sokongan daripada orang Melayu, ini satu manifestasi yang akan menjelma menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri seterusnya selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, “ katanya. - UTUSAN ONLINE