Anifah menerusi satu kenyataannya hari ini berkata, beliau menghormati pandangan dan pendirian rakan-rakan lain yang menzahirkan rasa tidak setuju dan puas hati terhadap proses pelantikan Yang DiPertua Dewan Rakyat.

“Namun saya berpendapat dan merasakan, tidak perlu untuk saya bertindak meninggalkan dewan pada pagi tadi.

“Bagaimanapun, jangan sangka pada masa akan datang, saya tidak akan sama-sama meninggalkan dewan jika ada isu yang berbangkit dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Anifah turut mengucapkan tahniah kepada bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang telah dilantik sebagai Yang DiPertua Dewan Rakyat hari ini.

Pagi tadi, kecuali Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, semua ahli Parlimen pembangkang bertindak meninggalkan dewan beramai-ramai kerana tidak bersetuju atas pelantikan Mohamad Ariff yang menggantikan jawatan yang pernah disandang oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia. - UTUSAN ONLINE