Sikap itu dapat dilihat melalui reaksi pemimpin-pemimpin mereka terhadap laporan media asing seperti New York Times, Wall Street Journal, The Economist, The Australian, Tempo, CNBC dan MSNBC berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mengadakan sidang akhbar di bilik media bangunan Parlimen semalam merupakan salah seorang pemimpin Pakatan Harapan yang menunjukkan kelakuan yang pelik itu.

Mana tidaknya, beliau me­ne­rima bulat-bulat laporan media asing terbabit yang penuh de­ngan pelbagai dakwaan yang ti­dak disahihkan kebenarannya.

Namun, pada masa sama, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP tidak mempercayai pen­jelasan yang diberikan kerajaan serta laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotainya tentang isu 1MDB.

Malah, beliau tanpa usul periksa menuduh kenyataan sahih berhubung isu 1MDB yang dikeluarkan oleh menteri-menteri Kabinet, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai ‘berita palsu’.

Memang aneh kompas moral yang digunakan oleh Tony. Yang palsu dikatakan benar manakala yang benar dituduh palsu.

Jika sistem penilaian yang di­gunakan oleh Tony dalam isu 1MDB diaplikasikan terhadap skandal melibatkan kerajaan DAP Pulau Pinang, kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempertahankan pentadbirannya yang kononnya bersih boleh juga dikategorikan sebagai berita palsu.

Tony juga enggan mengulas apabila ditanya oleh wartawan tentang isu terowong dasar laut di Pulau Pinang dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen minggu lalu.

Memang banyak skandal berlaku di Pulau Pinang sepanjang dua penggal DAP memerintah tetapi seperti kebanyakan pemimpin parti tersebut, Tony hanya mampu menikus sahaja.

Buktikanlah kejantanan dengan berkokok di halaman sendiri terlebih dahulu sebelum bersa­bung di gelanggang orang lain.