Disebabkan itulah, penggunaan radio tentera atau radio taktikal begitu dititikberatkan bagi memastikan kejayaan setiap misi ketenteraan yang dijalankan.

TRC5200, radio VHF mudah alih terkini yang dibangunkan Sapura Secured Technologies merupakan teknologi dalam sistem pertahanan yang dibangunkan 100 peratus melalui kepakaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, TRC5200 yang kini digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai sistem pemprosesan digital berprestasi tinggi.

“Selain itu, alat telekomunikasi ini mempunyai penyiaran digital yang berkaitan dengan ‘built-in encryption’ bagi memastikan kesulitan atau kerahsiaan terjamin dan komunikasi yang selamat,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19) turut melancarkan radio TRC5200 tersebut di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zarif, radio tersebut yang melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama 20 tahun oleh jurutera dan pakar-pakar di Malaysia turut berupaya menghantar mesej ringkas antara pengguna.

“Radio ini turut mempunyai antena sistem pengesanan global (GPS) yang membolehkan komander dan markas operasi menjejaki anggota mereka melalui aplikasi Blue Force Tracking (BFT)

“Selain berkemampuan untuk menghasilkan perkakasan kelas dunia, kami juga mempunyai keupayaan untuk membangunkan perisian kompleks dan memanipulasi enjin perisian bertaraf dunia dan mengubahnya menjadi teknologi yang sama dengan standard yang digunakan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO),” ujarnya.

Beliau menyasarkan pengeluaran 10,000 unit radio berkenaan terjual dalam tempoh lima tahun. - UTUSAN ONLINE