Fahariyah Md Nordin

Ahli Dewan Negara, Sanator Datuk Fahariyah Md Nordin berkata, pengukuhan pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat penting dalam sistem pendidikan dan kehidupan di negara kita.

Katanya, penggunaan bahasa kebangsaan itu sebagai bahasa pengantar juga penting dalam usaha menyatukan kepelbagaian bangsa di negara kita.

“Namun sekarang ini kita lihat peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar malahan sebagai bahasa rasmijuga dilihat semakin pudar walaupun ianya telahpun termaktub di dalam akta.

“Kawan Australia yang mempelajari Bahasa melayu, yang kini bekerja di Malaysia mengatakan yang kebolehan beliau bertutur dalam Bahasa Melayu semakin merosot kerana di Malaysia mereka tak cakap Bahasa Melayu.

“Untuk itu, penekanan penggunaan Bahasa Kebangsaan, penyelarasan aktiviti-aktiviti memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu disepadukan dalam semua jentera kerajaan dan masyarakat seiring dengan aspirasi kerajaan dalam TN50,” kata di Dewan Negara.

Oleh itu Fahariyah meminta kerajaan melalui Kementerian Pendidikan, Jabatan Peguam Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara supaya meningkatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rujukan utama dalam semua siri dokumen perundangan, kontrak dan surat cara rasmi yang diguna pakai dalam urus niaga dan urusan harian rasmi pengguna dan kerajaan.

“Sebagai contoh perjanjian sewa beli, pinjaman perumahan dan perjanjian jual beli rumah masih lagi menggunapakai bahasa Inggeris,” katanya.

Sehubungan itu beliau membangkitkan persoalan berapakah peruntukan program memartabatkan Bahasa Melayu yang diadakan dalam tahun 2018 dan bagaimanakah kita dapat memaksimakan penyertaan budaya dan bahasa kebangsaan dilaksanakan disegenap lapisan masyarakat.

“Apakah perancangan kementerian pendidikan dan kementerian pendidikan tinggi dalam merencana program Bahasa Melayu di sekolah dan IPT agar penguasaan Bahasa Kebangsaan dikalangan rakyat lebih cemerlang dan martabat Bahasa Kebangsaan lebih tinggi.

“Saya juga ingin mencadangkan supaya naikkan Taraf Dewan Bahasa dan Pustaka ini kepada Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan dan diletakan di bawah Jabatan Perdana Menteri agar pemerkasaan dan penguatkuasaan penggunaan Bahasa Kebangsaan lebih efektif,” katanya.