WAN JUNAIDITUANKU JAAFAR

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak kementerian memandang serius terhadap pelanggaran moratorium itu walaupun pegawai penguat kuasa ditempatkan mengawal kegiatan mengorek bauksit.

Menurut beliau, pihaknya sedang berusaha membanteras sebarang aktiviti yang dijalankan secara haram dengan meningkatkan operasi penguatkuasaan.

“Sehubungan itu, kementerian bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Pahang untuk menguatkuasakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan dan eksport bauksit di kawasan terbabit.

“Para pegawai Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian telah diarahkan untuk melaksanakan arahan tersebut dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) hari ini dilaporkan menahan 10 individu termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas disyaki menerima rasuah bagi melindungi kegiatan perlombongan bauksit secara haram di sekitar Pahang.

Pada masa sama Wan Junaidi memaklumkan, pihaknya akan berkerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan penguatkuasaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Ini adalah masanya untuk menguatkuasakan secara bersepadu dan diperkukuhkan dengan semua bentuk tenaga kerja digembleng untuk menangani isu ini dengan segera dan berkesan,” katanya.

Wan Junaidi berkata, arahan moratorium telah dilanjutkan beberapa kali sejak 15 Januari 2016 bagi memantau aktiviti keluar dan masuk bauksit yang merupakan punca ancaman alam sekitar di kawasan berhampiran.

Katanya, sepanjang moratorium dilaksanakan, aktiviti pe­ngorekan baharu adalah tidak dibenarkan dan pengeluaran le­sen eksport (AP) khas bagi me­ngosongkan simpanan bauksit sedia ada.

“Pelbagai penambahbaikan te­lah dilaksanakan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, an­taranya pendaftaran lori pe­ngangkut bauksit, pembangunan sistem pangkalan dokumen pemindahan bijih mineral dan pe­nguatkuasaan peraturan pemba­ngunan mineral,” katanya.