AZALINA OTHMAN SAID

Dua rang undang-undang itu meliputi Rang Undang-undang Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 serta Rang Undang-undang Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016.

Kedua-dua rang undang-undang itu diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada 23 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, dengan adanya akta ini akan meningkatkan lagi maruah mereka yang mempunyai anugerah diiktiraf.

“Kerajaan tidak akan bertole­ransi dengan mana-mana pihak yang bertindak menjual anugerah. Oleh itu, ia menjadi peringatan kepada sesiapa yang menjadi broker penjualan anugerah ini,” katanya.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusif mendedahkan terdapat segelintir individu yang sanggup membayar RM40,000 hingga RM100,000 bagi memiliki darjah kebesaran dan pingat palsu dari negara jiran.

Dalam pada itu, Azalina menjelaskan, tiada keperluan untuk mewujudkan sistem pemantauan baharu bagi mana-mana lambang pada kenderaan orang kenamaan yang disalahgunakan.

Ini kerana katanya, pemantauan itu sepatutnya dilakukan oleh agensi atau pihak yang mengeluarkan lambang pada ken­deraan tersebut dan juga pi­hak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Apa yang penting ialah pemantauan daripada pihak berkuasa, selain bantuan maklumat orang ramai untuk melaporkan sebarang penggunaan lambang dan nama-nama yang disalahgunakan,” katanya.