Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, dengan adanya akta itu, rakyat boleh mendapatkan maklumat secara rasmi dan bukan berita-berita palsu.

“Sekarang ini mungkin ada maklumat yang benar tetapi diperoleh dengan cara yang tidak sah. Ini sebenarnya tidak bagus kerana mereka mengambil maklumat rasmi dan mendedahkannya dan budaya seperti ini yang kita nak elakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Negara ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff yang ingin tahu tentang pendekatan kerajaan dalam memastikan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat dapat dinikmati rakyat.

Soalan asal Senator Chandra Mohan S. Thambirajah tentang perkembangan terkini cadangan memperkenalkan akta tersebut serta cadangan mengkaji semula akta-akta seperti Akta Rahsia Rasmi 1971 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Mohamed Hanipa berkata, jemaah menteri pada 11 Julai lepas telah bersetuju supaya Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat digubal di peringkat persekutuan.

Beliau berkata, setakat ini kajian penanda aras telah dilaksanakan dengan merujuk kepada dua enakmen berkaitan iaitu Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 dan Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor 2011.

Mohamed Hanipa berkata, sesi libat urus dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Peguam Negara dan Majlis Keselamatan Negara turut diadakan bagi mendapatkan pandangan bersesuaian sebelum rang undang-undang itu digubal. - BERNAMA