Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pada masa ini, akta sedia ada di bawah kementeriannya tidak mempunyai peruntukkan tersebut untuk membolehkan tindakan dikenakan terhadap individu yang melakukan perbuatan sedemikian.

“Sekiranya akta itu wujud dan menyatakan perbuatan diskriminasi tidak boleh dilakukan maka tindakan boleh diambil.

“Jadi, jika perlu kita boleh bawa perkara ini dibincangkan bagi mewujudkan akta baharu untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana individu atau perbuatan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya semasa sesi soal jawab waktu pertanyaan-pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) yang meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjelaskan tindakan yang boleh diambil terhadap hotel yang melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) diskriminasi selain sama ada kementerian bercadang mewujudkan peraturan khas untuk menangani isu tersebut.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri turut mencadangkan pihak hotel menyelaraskan pakaian seragam kakitangannya di kaunter hadapan selari dengan tuntutan agama dan budaya semua masyarakat bagi mengelakkan unsur diskriminasi.

Menurut beliau, pengurusan hotel perlu juga mengambil kira tentang pakaian tradisional pelbagai kaum dan agama di negara ini termasuk sari bagi wanita berketurunan India serta serban yang dipakai lelaki Sikh.

“Kita sebagai sebuah negara berbilang kaum, apa salahnya pakai satu uniform sama, dibuat untuk sari, serban dan tudung disertakan dengan logo hotel, itu yang perlu dilakukan,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang). – UTUSAN ONLINE