Perkara itu dijelaskan oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR menambah, sebahagian daripada mereka juga menghadiri majlis pengebumian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Eddie Ng Tien Chee yang berlangsung kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

“Kami ada di situ. Kita ada taklimat kepada ahli Parlimen baharu dan kami sedang berjalan menuju ke dewan, jadi makan masa sikit.

“Kemudian loceng kedua berbunyi. Bukan boikot, kalau andaian itu dibuat orang lain,” katanya ketika mengulas saranan tokoh politik veteran, Tan Sri Dr. Rais Yatim hari ini yang mencadangkan supaya elaun ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat dipotong.

Rais memaparkan saranan itu dalam laman Twitter miliknya berikutan isu sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya disambung semula selepas waktu rehat pukul 2.30 petang tadi terpaksa ditangguhkan sebentar kerana tidak cukup korum.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan sekiranya ahli Parlimen berkenaan tidak bertanggungjawab, sengaja ponteng tanpa alasan yang kukuh dan menjadikan jawatan wakil rakyat hanya untuk memenuhi kehendak peribadi.

“Tidak datang Parlimen, tidak berbahas, saya rasa ada kemunasabahan untuk parti sendiri ambil tindakan dan kalau ada pemotongan elaun, terpulang kepada peraturan mesyuarat yang mungkin akan ditentukan oleh Parlimen.

“Tapi sekiranya kita tak hadir Parlimen kerana tugas dan ada tanggungjawab seperti mesyuarat ataupun taklimat yang perlu hadir, jadi saya rasa itu perlu difikirkan oleh masyarakat. Jangan hanya keluar gambar pada waktu kosong dan buat kesimpulan, media kena beri juga peluang ahli Parlimen itu menjelaskan keadaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE