AZALINA OTHMAN SAID

Ini kerana kekeba­lan seseorang ahli Par­limen itu tertakluk kepada empat per­kara seperti ter­mak­tub di dalam Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peruntukan tersebut menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dipersoalkan semasa da­lam sidang Parlimen.

Justeru, katanya, ahli Parlimen tidak boleh bercakap atau bertindak sesuka hati sehingga mencemar nama baik dan prestij Dewan Rakyat serta Dewan Negara.

“Lebih mengecewakan apabila ada ahli Parlimen yang tu­rut memperlekeh dan tidak menghormati kedudukan Yang Dipertua Dewan Rak­yat, sekali gus boleh disifatkan menghina,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azalina menambah, setiap ahli Parlimen seharusnya menggunakan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi membahaskan perkara yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk isu di kawasan mereka.

“Selain itu, mana-mana ahli Parlimen yang pernah berada di dalam Kabinet perlu berpegang kepada integriti atas prinsip yang mereka pernah membuat aku janji di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.

Dalam pada itu, beliau ber­kata, pembangkang tidak perlu melatah apabila pihak polis mahu menyiasat mana-mana ahli Parlimen di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 atau mana-mana akta lain.

Katanya, tindakan pihak ber­kuasa itu dibuat berdasarkan la­po­ran polis yang diterima.

“Sama ada pihak yang dipanggil itu telah melakukan kesalahan atau tidak, tertakluk kepada penyiasatan pihak berkuasa.

“Adalah tidak matang untuk mana-mana pihak untuk membuat kesimpulan terhadap perkara tersebut,” jelasnya.