LIM KIT SIANG
LIM KIT SIANG

Tindakan ahli-ahli Parlimen berkenaan telah melengahkan masa kira-kira 35 minit sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) yang juga Presiden Pas dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

‘Gangguan’ itu dimulakan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang mempersoalkan cadangan usul rang undang-undang yang beliau failkan sebelum ini mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) telah ditolak Dewan Rakyat.

Selepas diberi penerangan oleh Speaker berhubung penolakan usul berkenaan, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pula bangun membangkitkan bahawa terdapat tuntutan mahkamah untuk menyekat usul persendirian Ahli Parlimen Marang itu.

Gobind kemudian merujuk kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila Pandikar Amin menghalang perbincangan mengenai isu itu atas alasan subjudis kerana masih di mahkamah.

Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) kemudian bangkit dan berkata, injunksi sama pernah difailkan pada Jun lalu untuk menyekat usul Abdul Hadi, tetapi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolaknya.

Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) pula turut mencelah dan mempersoalkan mengapa usul Abdul Hadi diberi keutamaan berban­ding usul pembangkang lain.

Pandikar Amin menjelaskan bahawa kerajaan telah meminta supaya usul Abdul Hadi diberi keutamaan dan beliau hanya mengikut Peraturan Mesyuarat dan itu adalah hak eksekutif untuk membuat sebarang pindaan kepada Peraturan Mes­yuarat.

Gobind
Gobind

Kit Siang yang juga Penasihat DAP sekali lagi bangun membangkitkan mengenai keputusan Kabinet berhubung RUU 355 yang tidak mendapat persetujuan MCA dan MIC.

Tuduhan Kit Siang itu menimbulkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) antaranya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Ba­ling) yang menyatakan ahli-ahli Parlimen terlibat sengaja membangkitkan pelbagai perkara bagi melengahkan masa untuk menggagalkan pembentangan RUU 355.

Pandikar Amin kemudiannya menegur sikap Kit Siang supaya tidak membuat provokasi dan beliau berhak mengarahkan mana-mana Ahli Parlimen yang tidak mendengar arahannya untuk keluar Dewan.

“Hal berkaitan politik bawalah di luar sana, bukan dalam Dewan ini kerana kita mempunyai Peraturan Mesyuarat. Siapa yang berdiri lagi, saya berhak arah keluar,” katanya.