Senator Khairul Azwan Harun menganggap seolah-olah wujud niat yang tidak baik untuk mensensasikan perkara tersebut yang boleh menyebabkan pendeposit dan rakan niaga Tabung Haji hilang keyakinan terhadap institusi kewangan Islam itu.

Katanya, beliau yakin juruaudit luar yang memberi laporan audit pada tahun 2015, 2016 dan 2017 telah menyatakan kedudukan kewangan Tabung Haji pada masa itu bahawa boleh membayar dividen serta tidak melanggar sebarang klausa mahupun akta berkenaan.

“Malah, ia juga telah disah oleh Ketua Audit Negara menerusi laporan audit yang dibentangkan di Parlimen, maka tidak timbul soal Tabung Haji melanggar mana-mana klausa perundangan pada waktu itu dan kononnya telah membayar dividen secara tidak sah.

“Kalau hari ini, ada juruaudit baharu yang membuat pengiraan, kita perlu tanya sama ada pengiraan aset itu dilakukan berdasarkan harga semasa kerana laporan yang dibentangkan di Parlimen untuk tempoh tersebut memang menyatakan bahawa kedudukan kewangan dan aset semasa pada waktu itu jauh lebih tinggi daripada jumlah liabiliti, maka mereka boleh membayar dividen,” katanya ketika ditemui selepas membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di sidang Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, Khairul Azwan turut membangkitkan perkara itu dalam perbahasan beliau.

Semalam, Mujahid berkata, Seksyen 22 (3a) akta berkenaan menyebut hibah tidak boleh diberikan apabila nilai aset lebih rendah daripada liabiliti, dan Tabung Haji perlu menerbitkan keuntungan dalam tahun tersebut.

Katanya lagi, perkara tersebut adalah suatu kesalahan dan tindakan akan diambil kepada barisan kepemimpinan Tabung Haji terdahulu. - UTUSAN ONLINE