Gesaan itu disuarakan oleh dua Ahli Dewan Negara iaitu Senator Bob Manolan Mohamad dan Senator Adrian Banie Lasimbang.

Bob Manolan juga kesal apabila agensi kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan turut terlibat dalam merobohkan sekatan yang didirikan oleh Orang Asli.

“Kami berpandangan isu pertikaian hak milik tanah perlu diselesaikan antara kerajaan negeri, syarikat pemaju dan masyarakat Orang Asli manakala jabatan di bawah kementerian itu tidak seharusnya terlibat.

“Mereka tidak harus menyebelahi mana-mana pihak sehingga mahkamah atau satu penyelesaian menang-menang dipersetujui,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan anggota-anggota Jabatan Perhutanan merobohkan tiga sekatan yang dibina oleh Masyarakat Orang Asli Suku Temiar di kawasan pedalaman jajahan Gua Musang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu pertikaian tanah itu adalah kes sivil yang harus dibicarakan di mahkamah untuk menentukan pihak yang mempunyai hak ke atas kawasan tersebut.

“Dengan merujuk beberapa keputusan kes mahkamah sebelum ini berkenaan isu hak Orang Asli, kami percaya masyarakat Orang Asli Suku Temiar di situ juga mempunyai hak terhadap wilayah diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka.

“Hak mereka sepatutnya dihormati oleh kerajaan negeri sebelum memberikan mana-mana kelulusan tanah kepada syarikat yang ingin masuk di kawasan diduduki oleh Orang Asli,” katanya.

Dalam pada itu, Bob Manolan turut menyeru kerajaan mengambil tindakan segera menenangkan keadaan di kawasan Orang Asli.

“Pihak polis tidak seharusnya menyebelahi mana-mana pihak dan perlu kekal neutral serta menjaga keamanan di kawasan itu termasuk menghentikan mana-mana pihak yang tidak mempunyai perintah mahkamah untuk merobohkan sekatan yang didirikan oleh masyarakat Orang Asli,” katanya.

Selain itu, katanya, prinsip Izin menerusi Makluman Awal Bebas dan Telus (Izin-MABT) seperti terkandung dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) harus dihormati sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk melindungi hak golongan itu di negara ini.

“Kami menyeru kerajaan baharu menunaikan tanggungjawab untuk melindungi dan memelihara warisan budaya Orang Asli seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE