Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan di Parlimen hari ini memberitahu, Jabatan Pendaftaran Negara telah menerima sebanyak 39,985 permohonan kewarganegaraan daripada pemastautin tetap dari tahun 2013 hingga 30 September lalu.

Menurut kenyataan itu, daripada jumlah tersebut, hanya 10,948 sahaja permohonan yang diluluskan.

“Sebanyak 20,439 permohonan pula masih dalam proses,” jelas kementerian itu.

Kementerian berkenaan menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang ingin tahu jumlah penduduk tetap yang memohon menjadi warganegara sehingga 30 September lalu di Dewan Rakyat. - UTUSAN ONLINE