MARY YAP KAIN CHING
MARY YAP KAIN CHING

Timbalan Menteri Pendidikan Ting­gi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata, hasil rundingan yang dijalankan, bayaran balik pinjaman berjumlah RM1.84 bi­lion berjaya dikutip setakat Februari lalu.

Menurut beliau, jumlah yang dikutip itu boleh dimanfaatkan bagi membiayai kira-kira 76,000 pelajar lain yang memohon pinjaman sehingga mereka menamatkan pengajian.

“Ini merupakan kesan positif daripada tindakan menyenarai hitam peminjam yang lalai membayar pinjaman. Ia jelas menunjukkan tindakan tersebut bukan untuk menindas tetapi mendidik peminjam supaya mereka lebih berintegriti dan bertanggungjawab membayar hutang,”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) yang bertanya mengenai prosedur menyenaraihitamkan peminjan PTPTN dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kain Ching berkata, tindakan menyenaraihitamkan nama individu yang gagal membuat bayaran balik merupakan langkah terakhir PTPTN setelah notis bayaran balik dan notis peringatan dihantar kepada pe­minjam.

“PTPTN menye­diakan pelbagai ke­­­mudahan bagi membolehkan mereka berun­ding ter­masuk untuk me­ngurangkan ansu­ran bulanan me­la­lui penstrukturan se­mula pinjaman,” jelasnya.

Menurut beliau, penstrukturan semula itu boleh dibuat mengikut kemampuan sehingga peminjam berumur 60 tahun atau membuat penangguhan bayaran balik sehingga 24 bulan, sekiranya mereka masih belum mendapat pekerjaan.