Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dapat dili­hat apabila seramai 543,460 pengguna melayari portal SMO manakala majikan yang berjaya mendaftar masuk sebanyak 10,604 orang.

Selain itu katanya, seramai 1,903 orang pembantu rumah berjaya didaftarkan manakala permohonan pembantu rumah asing yang layak ke Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) untuk kelulusan adalah 1,480 orang.

“Daripada jumlah ini dapat dili­hat sistem itu sangat berjaya dan dapat meringankan beban maji­kan untuk mendapatkan pembantu rumah asing.

“Permohonan secara dalam talian begini juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam mencari kaedah terbaik bagi membantu rakyat,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham mengenai tindakan kerajaan menangani kes-kes penderaan melibatkan pembantu rumah asing, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mendera pembantu rumah mereka.

“Kerajaan amat prihatin terhadap penyeksaan dan penderaan pembantu rumah asing atas apa juga tujuan.

“Kita tahu setiap pekerja mempunyai hak masing-masing dan kerajaan amat kesal dengan kejadian yang menimpa pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao, 26, yang maut akibat didera majikannya malah tindakan pantas pihak polis berkaitan kes ini turut mendapat reaksi positif daripada kerajaan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan akan mewajibkan majikan negara ini membayar gaji pembantu rumah asing secara kredit ke akaun pembantu rumah berkenaan menerusi sistem e-wallet bagi memastikan tia­da lagi kes pembantu rumah teraniaya pada masa depan.

Beliau berkata, mekanisme ber­kenaan telah dibincangkan antara Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Nege­ri, Jabatan Imigresen serta pihak kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara-negara yang membekalkan pembantu rumah asing ke negara ini.

“Mekanisme ini telah dibincangkan untuk menentukan dan mewajibkan pihak majikan membayar gaji tidak secara tunai tetapi terus kepada akaun pekerja.

“Sebagai contoh kita telah mulakan melalui sistem e-wallet, pihak majikan wajib kreditkan gaji pada akaun pekerja dan keluarga pekerja di negara masing-masing akan memperoleh gaji tersebut, kemudian slip kredit kepada akaun ini akan diberikan kepada pekerja,” katanya menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat).