Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, jumlah kebolehpasaran graduan itu pasti akan lebih tinggi sekiranya negara menggunakan penanda aras selama satu tahun sebagaimana dipraktikkan kajian peringkat antarabangsa.

Berikutan itu, katanya, pihak kementerian telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Program Kebolehpasaran Graduan bertujuan menangani isu pengangguran selain membantu para pelajar meningkatkan keupayaan sara diri mereka selepas bergraduat.

“Program ini juga bertujuan meningkatkan nilai tambah gra­duan dari aspek kelayakan profesional dalam bidang masing-masing, keterampilan diri dan sahsiah bagi membantu golongan ini memperoleh pekerjaan serta relevan dengan keperluan majikan dalam pelbagai sektor. Program ini turut dibantu oleh Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan juga Talent Corp.

“Bagi mahasiswa yang masih belajar, beberapa program dilaksanakan seperti usahawan siswa yang menggalakkan mereka berniaga di dalam dan luar kampus. Ruang niaga pula disediakan di dalam kampus dan beberapa program dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Perbadanan Pembangunan Tek­nologi Malaysia (MTDC) dan lain-lain dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Shamsul Iskandar Mohd. Akin (PKR-Bukit Katil) yang ingin mengetahui statistik graduan menganggur dan langkah-langkah berkesan yang telah, sedang dan akan dijalankan pihak kementerian bagi memastikan golongan itu memperoleh pekerjaan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Idris memberitahu, program Sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) turut membantu mahasiswa yang membabitkan bukan hanya pentaksiran akademik semata-mata tetapi juga dari aspek keusahawanan, kemampuan pengurusan, kemahiran sosial dan komunikasi.

“Selain itu, pelaksanaan program dua tahun di universiti dan dua tahun di industri akan dilaksana di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam bidang keusahawanan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang pengurusan ladang bermula September ini.

“Program profisiensi bahasa Inggeris juga telah menampakkan peningkatan apabila mencapai band 3 dalam Malaysian University English Test (MUET),” jelas beliau.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu lambakan graduan bidang kedoktoran yang tidak mendapat pekerjaan, Idris menjelaskan, Majlis Kesihatan sedang melihat perkara tersebut.