ALEXANDER NANTA LINGGI

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, lokasi berkenan terletak di Johor, Melaka, Terengganu dan Kelantan.

Menurutnya, ketika ini, Mara sedang mengadakan rundingan bersama usahawan di negeri-ne­geri berkenaan.

“Buat masa ini, Mara Digital boleh dianggap sebagai langkah awal bagi membantu golongan bumiputera dalam bidang ICT dan digital ekonomi negara ini.

“Dengan kejayaan ini nanti, besar harapan supaya ramai usahawan bumiputera akan terlibat dalam bidang digital ekonomi, bukan sekadar bilangan tetapi dari segi kualiti, kepandaian dan inovasi golongan itu dalam bidang ICT.

“Malah, hasrat kerajaan menerusi Mara memperkasakan usahawan digital ekonomi bukan setakat mewujudkan Mara Digital di 14 buah negeri tetapi mahu meluaskannya di daerah-daerah,” katanya ketika sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) yang meminta kerajaan menyatakan bilangan peniaga dan jumlah transaksi perniagaan bagi Mara Digital sejak ditubuhkan pada 2015.

Jelas Alexander, kementeriannya juga bercadang untuk mewujudkan Mara Digital di setiap ne­geri termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga kini, terdapat empat buah Mara Digital sudah beroperasi sejak mula ditubuhkan pada Disember 2015.

Kata beliau, Mara Digital di Menara Mara, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM26 juta sejak ditubuhkan pada 8 Disember 2015.

“Mara Digital di Anggerik Mall, Shah Alam pula merekodkan jumlah jualan sebanyak RM2.3 juta sejak mula beroperasi pada 21 Julai tahun lalu.

“Bagi Mara Digital di Ipoh, Perak ditubuhkan 12 Oktober lalu dan Mara Digital Kuantan di Pahang pada 26 Oktober lalu, ma­sing-masing tidak mencatatkan jumlah jualan kerana baru sahaja beroperasi,” katanya.