MASZLEE MALIK

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kajian yang melibatkan sebanyak 48,258 responden itu menunjukkan gejala stress dalam kalangan guru berpunca daripada pelbagai faktor.

“Antaranya isu keluarga, kewangan, pentadbiran, bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan tidak dilatih untuk menangani stres,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Zahari Sarip yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan statistik kajian dan langkah menangani masalah stres dan kemurungan yang dihadapi oleh guru.

Pada 27 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, golongan guru paling ramai dikesan mengalami gejala stres berbanding kerjaya lain di negara ini yang punca utamanya akibat beban kerja yang terlampau banyak.

Dalam laporan itu, bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal berkata, kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati kira-kira 71.1 peratus guru di Kuala Lumpur dan Sela­ngor mengalami stres.

Sehubungan itu, Maszlee memberitahu, kementeriannya akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah bilangan kaunselor bagi membantu guru yang menghadapi stres dan masalah kemurungan.

Pada masa sama, beliau me­ngakui bahawa bilangan kaunselor yang ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah setakat ini masih belum mencukupi dan perlu dipertingkatkan untuk membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan guru.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, pelbagai aktiviti turut diadakan untuk tujuan pembangunan, pencegahan dan intervensi bagi membantu guru-guru yang mengalami stres dan kemuru­ngan dijalankan oleh kementeriannya.

Beliau menjelaskan, antara aktiviti tersebut adalah Program Pengurusan Konflik, Program Pengurusan Emosi dan Program Rakan Perkhid­matan Awam (Akrab).

“Guru-guru yang telah disahkan oleh pakar perubatan menghadapi masalah kesihatan mental atau kemurungan juga akan ditempatkan dalam jawatan kumpulan (pool) bagi memudahkan guru menerima rawatan sewajarnya,” katanya.

Maszlee berkata, guru besar dan pengetua juga perlu memainkan peranan dalam mengenal pasti guru-guru yang menghadapi masalah stres dan kemurungan.