Timbalan Menteri Pembangu­nan Wanita, Keluarga dan Ma­sya­rakat, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, daripada jumlah ter­sebut, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 pula adalah seramai 16,270 orang.

Beliau berkata, berdasarkan sta­tistik remaja hamil yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan nege­ri dari 2012 hingga tahun lalu, Sarawak, Johor dan Selangor merupakan negeri yang mencatat bilangan tertinggi.

“Statistik remaja hamil di tiga negeri teratas ialah Sarawak (5,426 orang), Johor (2,427) dan Selangor (1,603),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad (Pas-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat­ hari ini.

Mengulas lanjut, Azi­zah berkata, pi­hak kementerian me­lalui Lem­baga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksanakan pelbagai program pendidikan untuk mewujudkan kesedaran kepada golongan remaja dan ibu bapa mengenai hubungan seks luar nikah.

Beliau berkata, dasar dan Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (Pekerti) 2009 telah diperkenalkan bertujuan untuk melahirkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.

“Di bawah Program Pekerti, LPPKN telah mendirikan 16 buah pusat remaja kafe di 10 negeri yang bertujuan meningkatkan akses ke­pada maklumat serta perkhidmatan kesihatan reproduktif dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 24 tahun.

“Selain itu, selaras de­ngan pelaksanaan dasar itu juga, Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) bersetuju de­ngan cadangan kementerian untuk mewujudkan Program Pekerti dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seluruh negara,” jelasnya.