Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, antara masalah utama yang masih tidak dapat diselesaikan adalah kegagalan pemilik atau pengusaha mengeluarkan dan mengangkut bauksit mengikut tempoh masa bekerja yang ditetapkan (8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 4 petang) menyebabkan pengeluaran tidak sah berleluasa.

“Terdapat pengusaha atau pemilik stockpile tidak diberikan lesen eksport (AP) khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar tetapi tetap melakukan aktiviti pe­ngorekan dan pengangkutan bauksit secara haram.

“Kelulusan AP khas yang dikeluarkan melebihi kuantiti sebenar bauksit di tapak. Ini menyebabkan kerja-kerja pengorekan dan pengangkutan yang tidak sah berlaku bagi memenuhi kuantiti yang diluluskan AP tersebut,” katanya pada sidang Dewan Undangan Ne­geri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka) yang bertanya mengenai ma­salah-masalah utama yang masih tidak dapat di­selesaikan sejak berkuat kuasanya pembekuan aktiviti perlombongan bauksit.

Menurut Adnan, pihak­nya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana mengambil alih dan memainkan peranan melalui agensi di bawahnya dalam menangani masalah berkaitan isu bauksit.

“Satu tindakan yang wajar kerana kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Sebelum ini saya pernah menasihatkan pengusaha bauksit termasuk memberi amaran agar melaksanakan kegiatan perlombongan mengikut peraturan.

“Namun disebabkan sikap tamak, mereka mengabaikannya sehingga memaksa pihak berkuasa ber­tindak,” ujarnya.

Tambah beliau, ketika ini terdapat dua arahan atau perintah mengenai aktiviti bauksit yang masih berkuat kuasa iaitu moratorium dan penyitaan sebanyak 10 juta tan mineral bauksit oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­­suah Malaysia (SPRM) selama 18 bulan bermula Ogos lalu.

“Berdasarkan pemantau­an PTG, aktiviti pengorekan dan pengeluaran bauksit telah berhenti sepenuhnya sepanjang sitaan dilakukan dan hanya satu kes tangkapan pada 6 Ogos lalu,” katanya.