HILMI YAHAYA

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, situasi tersebut sekali gus menyumbang kepada masalah penempatan doktor pelatih yang baharu berikutan mereka yang sedia ada terpaksa menyambung tempoh latihan.

Menurutnya, terdapat sekitar 5,000 graduan perubatan baru setiap tahun yang memerlukan mereka menjalani latihan.

“Diakui masalah ini memang ‘perpetual’ (berterusan) disebabkan (mereka) tidak kompeten. Mereka terpaksa menyambung lagi tempoh latihan dan ramai graduan yang tidak dapat menjalani latihan perubatan,” kata­nya menjawab soalan tambahan Izani Husin (Pas-Pengkalan Chepa) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) menge­nai jumlah doktor, Hilmi memberitahu, Malaysia memerlukan pertambahan bila­ngan golongan berke­naan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di negara ini terus kekal sebagai antara terbaik di dunia.

Pada masa ini jelasnya, Malaysia mempunyai 46,491 doktor dalam sektor awam dan swasta yang bersamaan nisbah seorang doktor bagi setiap 667 penduduk.

“Negara masih memerlukan pertambahan bilangan doktor disebabkan peningkatan bila­ngan penduduk serta beban penya­kit dan jangkaan rakyat yang tinggi agar Malaysia dapat mengekalkan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia,” ujarnya.

Beliau menambah, majalah International Living dalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2017 menamakan Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem kesihatan terbaik di dunia berbanding 24 negara lain.

“Ini merupakan penghormatan yang diterima Malaysia selama tiga tahun berturut-turut dan kaji selidik Bloomberg pada 2014 juga meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara di dunia yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan paling cekap,” katanya.