Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, hasil manfaat skim tersebut yang dilancar pada 2001, secara purata pendapatan usahawan luar bandar meningkat sebanyak 20 peratus.

"Skop pembiayaan SPED adalah meliputi pembelian mesin atau peralatan, modal kerja serta ubah suai atau naik taraf premis perniagaan.

"Kita lantik dua bank pelaksana iaitu Bank Rakyat dan SME Bank," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) mengenai bilangan pengusaha Bumiputera luar bandar yang mendapat pembiayaan SPED, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nanta berkata, keunikan SPED adalah ianya tidak mengenakan syarat cagaran atau penjamin, malah bayaran perkhidmatan adalah berasaskan jumlah baki pinjaman semasa dalam tempoh penangguhan bayaran balik selama enam bulan. Katanya, kemudahan itu bertujuan memberi peluang kepada peminjam menjanakan pendapatan.

Mengenai bantuan bagi memasarkan produk yang dihasilkan usahawan terbabit, Nanta berkata, kementerian menggalakkan usahawan SPED menggunakan mesin berteknologi dan berinovasi baharu bagi melipatgandakan pengeluaran produk masing-masing.

"Kementerian juga menganjurkan program Karnival Usahawan Desa, Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Halal Fiesta Malaysia (HALFEST) dan pelbagai ekspo perniagaan yang boleh disertai usahawan untuk dedahkan mereka kepada pasaran produk secara meluas," katanya. - BERNAMA