Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata, kerajaan memandang­kan serius soal keselamatan di sekolah dan mahu pihak sekolah mengemukakan laporan sekiranya syarikat keselamatan yang dilantik tidak mematuhi syarat kontrak.

“Kementerian akan ambil apa juga langkah untuk pastikan pihak keselamatan dan prestasi syarikat yang tawar perkhidmatan laksanakan tugas ini dengan cara terbaik,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) pada sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Kamalanathan menegaskan bahawa pihak kementerian tidak sama sekali mengambil pekerja asing untuk menjadi pengawal keselamatan di sekolah.

Beliau meminta supaya laporan dibuat kepada Kementerian Pendidikan sekiranya terdapat pengawal keselamatan warga asing di sekolah.

“Memang tidak sama sekali guna pekerja asing jadi pengawal keselamatan, kalau ada, harap ada laporan dibuat supaya kami boleh ambil tindakan selanjutnya,” jelas beliau.