Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berikutan itu, syarikat pelaburan negara tersebut pada masa ini tidak lagi mempunyai sebarang hutang bank atau hutang jangka masa pendek.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, hutang-hutang yang telah dilangsaikan itu membabitkan RM229.5 juta Kemudahan Kredit Berputar da­ripada Affin Bank yang dijelaskan sepenuhnya pada 23 November 2015.

Selain itu katanya, pinjaman melalui Kemudahan Kredit Tersedia berjumlah RM950 juta daripada kerajaan telah dibayar sepenuhnya pada 31 Mac tahun lalu.

“Hutang berjumlah RM2 bi­lion pula melibatkan Kemudahan Pinjaman Berjangka daripada Marstan Investments N.V. telah diselesaikan semuanya pada 8 April tahun lalu.

“Kemudahan Pembiayaan Berjangka berjumlah AS$150 juta (RM663.38 juta) daripada EXIM Bank juga telah dijelaskan sepenuhnya pada 15 April tahun lalu,” katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang ingin mengetahui jumlah wang tunai, hutang dan aset yang diperoleh 1MDB dalam dan luar negara pada tahun 2015 dan 2016 termasuk jumlah pekerja syarikat itu.

Menurut Perdana Menteri, 1MDB tidak memiliki sebarang aset baharu di dalam negara mahu pun luar negara pada tahun 2015 dan tahun lalu kerana sedang dalam pelaksanaan pelan rasionalisasi.

Beliau turut memberitahu, selepas penjualan aset syarikat Edra global Energy Bhd., menjual sebahagian ekuiti syarikat Bandar Malaysia Sdn. Bhd. dan penjualan plot tanah di projek Tun Razak Exchange, 1MDB te­lah memperoleh wang tunai sebanyak RM10.97 bilion pada dua tahun berkenaan.

“Selaras dengan pelaksana­an pelan rasionalisasi itu, 1MDB mempunyai 35 pekerja pada 31 Disember 2015 manakala pada hujung tahun lalu memiliki seramai 17 pekerja,” katanya.