Ikmal Hisham Abdul Aziz

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, situasi itu berlaku kerana masalah perjawatan kerana tiada kenaikan pangkat walaupun berkhidmat lebih 10 tahun.

“Pada tahun ini sahaja sehingga September lalu seramai 128 doktor pakar meletak jawatan berbanding tahun lepas sebanyak 124 orang.

“Keadaan ini berlaku sejak enam tahun lalu dan Kementerian Kesihatan terus kehilangan mereka kerana masalah kenaikan pangkat dan perjawatan. Contohnya Gred U54 10 tahun tidak naik pangkat, maka mereka meletak jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berhubung masalah kekurangan doktor pakar di negara ini dalam sesi soal jawab di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Hilmi berkata, negara kekurangan 12,000 doktor pakar untuk menampung jumlah penduduk ketika ini selain kemunculan pelbagai kompleksiti penyakit.

Katanya, jumlah itu meliputi 58 peratus keperluan di hospital-hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan termasuk kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan hospital-hospital swasta.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan, jumlah doktor pakar di hospital-hospital kerajaan telah meningkat iaitu sebanyak 4,474 orang sehingga September tahun lalu berbanding 3,825 (2013) dan 4,333 (2014).

“Nisbah keperluan doktor terhadap pesakit di negara ini perlu mencapai 1:400 sedangkan jumlah nisbah terkini setakat Disember tahun lalu hanya mencatatkan 1:650.

“Berdasarkan nis­bah kepada permintaan 1:480 hanya boleh dicapai pada tahun 2030. Namun kerajaan berusaha untuk meningkatkan pengambilan pegawai perubatan berdasarkan program-program yang telah dan sedang dilaksanakan,” kata­nya.

Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham mengenai penghijrahan ramai doktor pakar kerajaan ke hospital swasta, Hilmi mengakui bahawa keadaan itu berlaku kerana tawaran pendapatan lebih tinggi hampir 10 kali ganda di hospital swasta walaupun pelbagai insentif turut disediakan kerajaan kepada mereka.

Namun katanya, bebanan tugas di hospital kerajaan adalah lebih rendah memandangkan mereka bekerja secara berpasukan walaupun ada ketika perlu melakukan kerja-kerja pentadbiran dalam skop tugas sebagai ketua jabatan.