Sebanyak empat Rang Undang-Undang diluluskan pada hari terakhir antaranya Rang Undang-Undang Industri Pelancongan (Pindaan) 2017 yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Menurut Mas Ermieyati, pindaan ke atas peruntukan undang-undang itu adalah tafsiran premis penginapan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) merangkumi kelompok jenis premis inovatif seperti hotel tiub, hotel bas dan berkhemah agar ia boleh didaftarkan dengan lebih teratur.

“Dalam masa sama, kementerian mencadangkan kadar penalti ke atas kesalahan-kesalahan dipinda dengan kadar yang setimpal iaitu daripada RM50,000 dan penjara lima tahun kepada RM500,000 serta penjara 10 tahun.

“Pindaan turut dilakukan terhadap penggantungan atau pembatalan lesen iaitu pengusaha pelancongan berkenaan tidak dibenarkan untuk menjalankan urus niaga baharu dalam tempoh tersebut bagi membolehkan siasatan dilakukan dengan kondusif,” katanya.

Sementara itu, Rang Undang-Undang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017 turut yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim turut diluluskan.

Shahidan ketika menggulung perbahasan berkata, pindaan itu turut memperuntukkan kewujudan lokap tahanan dan memberi kuasa kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk menguruskannya.

“Antara lain membolehkan penubuhan pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia yang dilihat penting kerana mampu bertindak pantas sekiranya berlakunya sesuatu bencana,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran merakamkan penghargaan kepada Senator, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, warga kerja Parlimen serta kakitangan Parlimen yang melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan kelancaran persidangan yang bermula sejak 4 Disember lalu.-UTUSAN ONLINE