Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan walau bagaimanapun sedang mengkaji satu undang-undang baharu bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 dalam melindungi institusi raja-raja Malaysia.

“Kita akan mengumumkan senarai akta-akta yang terlibat dalam masa terdekat.

“Kerajaan sekarang mengamalkan konsep demokrasi di mana rakyat bebas mengkritik kami tetapi jangan melebihi batas peribadi. Dan kita juga akan mengkaji satu undang-undang baharu untuk melindungi institusi raja-raja Melayu.

“Bagi Akta Hasutan 1948 dan pemansuhan hukuman gantung akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini atau selewat-lewatnya bulan Mac tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Ulang Tahun ke-73 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE