SALLEH SAID KERUAK

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, sekatan ke atas laman sesawang, portal dan blog itu juga adalah disebabkan tindakan menyebar berita yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Selain itu, dari Januari 2016 hingga September tahun ini, sejumlah 67 kes menyebarkan beri­ta palsu melibatkan media sosial telah disiasat. Sebanyak lima kes telah dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN - Tasek Gelugor) mengenai langkah proaktif kementerian memastikan kandu­ngan berita di media sosial pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Salleh menambah, portal sebenarnya.my telah dilancarkan pada pertengahan Mac lalu untuk tujuan mendidik masyarakat supaya menyemak dahulu sesuatu maklumat atau berita sebelum menyebarkannya.

“Sehingga September lalu, sebenarnya.my telah mencatatkan jumlah layaran sebanyak 12.7 juta. Portal itu juga akan dinaik taraf ke bentuk aplikasi,” jelas­nya.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP - Kulai) pada sesi petanyaan-pertanyaan menteri berhubung tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta laman sesawang lowyat.net menarik balik satu artikelnya, Salleh menjelaskan, perkara itu telah diselesaikan.

Katanya, SKMM meminta lowyat.net berbuat demikian kerana mendapati terdapat unsur penjualan data peribadi yang dipe­rolehi secara tidak sah oleh pihak ketiga di laman sesawang itu.

“Pihak polis dan SKMM sedang siasat secara terperinci. Bukan soal sumber dari mana diperoleh data itu tetapi tindakan sewajar­nya yang perlu dikenakan kepada individu berkenaan,” ujarnya.