Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kesemua pekerja asing itu menerima gaji yang sah dan pas lawatan mereka dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut terdapat lima warganegara tertinggi direkodkan berada di negara ini iaitu Indonesia seramai 749,266 orang, Nepal (411,364), Bangladesh (237,991), Myanmar (140,259), India (121,430) dan lain-lain (194,374).

“Bermula 19 Februari lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan semua permohonan pengambilan pekerja asing baharu termasuk dari Bangladesh sehingga berpuas hati dengan keper­luan sebenar pihak industri,” katanya dalam kenyataan bertulis jawapan lisan kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut) dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, kelulusan pengambilan pekerja asing adalah berdasarkan keperluan majikan semasa permohonan dibuat dan akan dinilai mengikut kelayakan serta kemampuan mereka untuk mematuhi peraturan.

“Pembayaran gaji pekerja asing merupakan langkah sementara untuk menampung kekosongan jawatan dana apabila tamat tempoh, pekerja-pekerja asing berke­naan perlu kembali semula ke negara masing-masing.

“Caj levi dikenakan mengikut sektor iaitu bagi sektor perkilang­an, perkhidmatan dan pembinaan sebanyak RM1,850, sektor pertanian serta perladangan pula RM640 manakala sektor informal pembantu rumah asing RM410,” katanya.