Ab. Aziz Kaprawi

Timbalan Mente­rinya, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, anggaran itu berdasarkan andaian bahawa lapan hingga 10 peratus daripada 15 juta rakyat yang layak mempunyai lesen.

Kata Ab. Aziz, mengikut data yang dimiliki, hanya 7.6 juta penduduk di negara ini yang mempunyai lesen menunggang motosikal.

“Ini bermakna, hanya lebih kurang 50 peratus rakyat berumur 16 tahun ke atas memiliki lesen motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang ingin tahu mengenai jumlah penunggang motosikal tidak mempunyai lesen pada sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan rekod pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah motosikal berdaftar sehingga 31 Disember 2015 adalah sebanyak 12,089,747 buah.

Dalam pada itu, Ab. Aziz meminta sesiapa mempunyai maklumat berkenaan institut latihan memandu yang mengenakan caj membuat lesen melebihi harga si­ling kerajaan iaitu RM299 supaya melaporkannya segera kepada JPJ.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap institut memandu yang didapati telah me­langgar perjanjian dan peraturan ditetapkan kerajaan.

“Mengenai dakwaan pelajar yang perlu berkurung selama 15 jam untuk mendapatkan lesen motosikal, itu tidak tepat kerana jumlah sebenar diperlukan ialah 22 jam tetapi dijalankan dalam tempoh masa tertentu, bukannya seharian.

“Ingin saya tekankan di sini bahawa jumlah jam pembelajaran itu adalah yang paling sikit sekiranya dibandingkan dengan negara seperti Singapura seba­nyak 42 jam, manakala China pula 72 jam bagi memastikan penunggang motosikal mereka mematuhi perundangan dan peraturan jalan raya,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai kadar kemalangan maut di negara ini, Ab. Aziz tidak menafikan bahawa nisbahnya sangat tinggi dengan 18 kematian akibat kemalangan berlaku setiap hari.

“Kerajaan melalui agensi-agensi keselamatan sentiasa membuat program advokasi dan penguatkuasaan. Bagaimanapun, kami mendapati bahawa rakyat khususnya anak muda cenderung untuk melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya,” ujar beliau.