ISMAIL SABRI YAAKOB

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, jumlah tersebut merangkumi sebahagian daripada 1,675 permohonan yang diterima Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Beliau berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pula telah meluluskan 158 permohonan RBN daripada 1,626 permohonan yang diterima sehingga kini.

“Sejumlah 81 unit rumah kini dalam pembinaan manakala 16 unit telah siap,” katanya menjawab soalan Anuar Abd. Manap (BN-Sekijang) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai perkembangan projek RBN di seluruh negara, Ismail Sabri berkata, 140 unit rumah sudah siap dibina, 123 unit sedang dalam proses pembinaan manakala dua projek melibatkan 318 unit rumah telah memperoleh kelulusan kebenaran merancang.

“Selain itu, tiga projek RBN sedang dalam proses kebenaran merancang melibatkan 303 unit rumah dan dua projek dengan 302 unit rumah berada di peringkat permohonan kelulusan tapak,” jelasnya.

Tambah beliau, pemohon boleh mendapatkan pengesahan pendapatan daripada pemimpin tempatan sekiranya mereka tidak mempunyai slip penyata pendapatan bulanan untuk memohon rumah itu.

“Sebagai pemudah cara pembiayaan pemohon, kementerian dan RISDA baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama dengan Agrobank. Selepas ini pemohon yang ingin membuat pinjaman perumahan yang tidak mempunyai slip gaji boleh dapatkan pengesahan pendapatan daripada pemimpin tempatan,” katanya.