Anugerah yang julung kali diperkenalkan syarikat pengeluar batik terbesar di Malaysia itu merupakan penghormatan terhadap peranan Zuraida dalam membawa suara wanita negeri ini ke dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Pengerusi Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd., Noor Hijerah Hanafiah berkata, sebagai ADUN Wanita pertama Terengganu, pencapaian Zuraida mampu menjadi inspirasi kepada kaum hawa untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing di sebalik kesibukan sebagai ibu dan isteri.

“Sebenarnya Noor Arfa selalu buat majlis minum petang untuk menghargai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta usahawan wanita dan pemilihan beliau amat tepat sebagai ikon pertama kita pada tahun ini.

“Beliau seorang wanita yang kuat bekerja untuk wanita Terengganu dan Islam, setiap kenyataannya juga menarik sebagai satu nasihat yang baik untuk kaum hawa,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) di sini.

Menurut Noor Hijerah, pihaknya juga merancang menjadikan penganugerahan itu sebagai acara tahunan syarikat dengan mengangkat lebih ramai ikon-ikon wanita Terengganu yang berkelayakan.

Sementara itu, Zuraida berterima kasih di atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan Noor Arfa terhadap dirinya yang dianggap masih lagi mentah berbanding mereka yang lebih berpengalaman dan telah mencurahkan banyak jasa serta sumbangan kepada golongan wanita.

“Pengiktirafan ini sedikit sebanyak akan menjadikan saya lebih bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugas dan menyumbang kepada rakyat.

“Saya doakan semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua,” katanya. - UTUSAN ONLINE