Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, Zulkifili, 57, yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) menggantikan Laksamana Maritim, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab. Kahar yang tamat kontrak pada 27 Mei lalu.

Katanya, pelantikan Zulkifili dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman dan pengetahuan khususnya dalam bidang penguatkuasaan dan undang-undang maritim.

“Saya percaya kelayakan, pengalaman, kemahiran dan ciri-ciri yang dimilikinya akan membolehkan beliau menerajui kepemimpinan di Maritim Malaysia dan meneruskan kecemerlangan mengawal kese­lamatan dan kesejahteraan perairan negara dengan cekap dan berkesan untuk mencapai matlamat kemajuan pemba­ngu­nan ekonomi maritim negara,” katanya di sini, hari ini.

Zulkifili berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-undang Antarabangsa dari Institut Undang-undang Maritim Antarabangsa, Universiti Malta dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ali berkata, Zulkifili dilantik ke Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim sejak Maritim Malaysia (sebelum ini dikenali sebagai APMM) ditubuhkan pada 1 November 2005.

Beliau pernah memegang beberapa jawatan dalam agensi tersebut termasuk sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah dan Ketua Penguat Kuasa Wilayah Maritim Selatan dan Wilayah Maritim Utara.

Dalam pada itu, Ali memberitahu, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Puzi atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia sejak 9 September 2015.