Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, berpesan demikian semasa menelefonnya minggu lalu dan membe­ritahu tidak dapat balik ke rumah pada Ramadan ini kerana mempunyai tugasan.

Hawa Osman, 54, berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulung daripada empat beradik tersebut adalah tiga minggu lalu namun ketika itu Zulfarhan Osman tidak me­nunjukkan sebarang tanda pelik atau perubahan sikap.

“Semasa bercakap dengannya, suaranya seperti tidak sihat namun arwah berkata dia dalam keadaan baik. Saya tidak tahu dia demam atau dimasukkan ke hospital.

“Dia juga ada beritahu tidak dapat balik puasa ini tapi minta belikan baju Melayu warna kelabu untuk dipakai tahun ini. Saya pun sudah beli baju itu untuk mereka empat beradik tetapi dia tidak dapat memakainya," katanya dalam nada sebak.

Hawa yang merupakan penjawat awam ditemui selepas pengebumian Zulfarhan Osman di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh di sini, malam tadi.

Jenazah selamat dikebumikan pukul 9.25 malam selepas di­sembahyangkan di Masjid Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi, Selangor sebelum di­sembahyangkan sekali lagi di Masjid Jamek Kampung Kurnia di sini selepas solat isyak.

Majlis pengebumian turut dihadiri Komandan Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, Brigedier Jeneral Raja Ahmad Ikram Raja Othman; Pegawai Khas Menteri Pertahanan, Abd. Halim Abd. Jalil dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Pulai, Datuk Abdul Rashid Kasman.