Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu akan memudahkan pihak ber­­kaitan membantu kanak-kanak malang itu dalam pelbagai aspek agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan masa hadapannya tidak terjejas.

“Saya difahamkan oleh pegawai perubatan bahawa Nur Zulaikha boleh menggunakan tangan pal­­su, bagaimanapun lebih banyak masa diperlukan kerana dia terpaksa menjalani rawatan lanjut dan latihan untuk mengendalikan kelak.

“Selain tangan palsu yang dijanjikan oleh kerajaan negeri, bantuan lain akan menyusul supaya dia dapat meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain,” kata­nya kepada pemberita selepas meluangkan masa melawat Nur Zulaikha di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.

Ketika kunjungan itu, ibu Nur Zulaikha, Rohidayu Siup @ Yusof, 29, dan bapanya, Zulkifli Mohamad, 38, turut berada di wad yang menempatkan kanak-kanak tersebut.

Dr. Ahmad Samsuri tu­rut mendoakan ahli keluarga mangsa tabah dan cekal menerima dugaan berat itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, tangan anak sulung daripada dua beradik ini terputus setelah baju sejuk milik ibunya yang dipakai terbelit pada rim motosikal yang ditunggang kakak sepupunya.