Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara, Dr. Mat Naim Ramli berkata, sambutan kali pertama bagi anak panda yang lahir pada hari ini itu diadakan secara sederhana dengan menjemput beberapa agensi media sahaja.


“Sambutan diadakan secara sederhana memandangkan anak panda ini masih belum diberikan nama oleh pihak kementerian berwajib.


“Anak panda yang kini mencecah berat 34 kilogram ini sihat dan aktif walaupun tidak seagrasif anak panda yang pertama,” katanya di sini hari ini.


Sambutan yang bermula kira-kira pukul 11.30 pagi itu dimulakan dengan upacara memotong kek yang disempurnakan oleh beliau sendiri.


Menurutnya, anak panda tersebut yang dilahirkan oleh Liang-Liang iaitu seekor panda gergasi yang diberikan oleh China pada 2014 sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.


“Pihak kami masih tidak menjangkakan bila anak panda ini akan dinamakan kerana segala keputusan terletak kepada pihak kerajaan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE