Yang Dipertua Pertama, Datuk Asari Ibrahim berkata, maj­lis yang bertemakan ‘Islam itu Kedamaian’ adalah satu cabaran dalam membuktikan kemampuan negara ini menganjurkan majlis agama berprestij bertaraf antarabangsa.

“Ini juga bagi menyahut hasrat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam dialog Transformasi Nasional (TN50) baru-baru ini yang mahu melihat negara menjadi pusat kebangkitan peradaban Islam.

“Kita juga mahu zikir yang dituntut oleh Allah dan Rasul ini menjadi amalan masyarakat dan menyatukan umat Islam dari seluruh dunia sekali gus mengubah pandangan negatif barat terhadap Islam,” katanya berucap dalam majlis pelancaran Zikir Perdana Sedunia 2017 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Pertama, Sheikh Abd. Raof Nurin, wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dr. Izham Nayan serta kumpulan nasyid Raihan.

Dalam pada itu, Asari juga berkata, sembilan acara sam­pingan akan diadakan yang me­nyasarkan kehadiran 120 ulama dari seluruh dunia.

“Kita menganjurkan aktiviti akademik seperti Persidangan Ulama Antarabangsa serta program hiburan yang akan memperkenalkan Festival Sama Sedunia iaitu persembahan hadra dan qasidah.

“Setakat ini 15 negara termasuk Afrika Selatan dan China telah mengesahkan penyertaan, namun kita terpaksa mengehadkan jumlah negara yang bakal turut serta nanti,” jelasnya.

Tambah Asari, program zikir berkenaan turut mendapat sokongan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Talim Darul Murtadza serta Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja).