Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sumbangan itu untuk membantu golongan berkenaan bagi meringankan kos dan per­belanjaan dapur mereka.

“Keadaan ekonomi dan kos sara hidup amat membebankan dan saya amat memahami masalah mereka yang rata-ratanya penoreh getah.

“Pemberian ini sekurang-ku­rangnya dapat membantu mereka buat sementara waktu terutamanya kepada golongan warga emas, ibu-ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), pesakit terlantar dan mereka yang memerlukan,” kata Abdul Azeez ketika berucap pada program Ziarah Kasih di Kampung Memali, di sini semalam.

Menurutnya, program ini dijalankan sejak beberapa tahun lalu dan ia akan diteruskan pada tahun ini sebagai tanda ucapan terima kasih dan penghargaannya kepada rakyat yang berterusan memberikan sokongan kepada kerajaan.

Pada majlis tersebut lebih 150 penerima menerima sumbangan tersebut termasuk menerima wang perbelanjaan RM100 setiap orang.

Katanya, beliau akan berusaha membangunkan daerah ini dengan pembangunan yang sebaik-baik untuk dinikmati oleh rakyatnya.

“Kehidupan yang aman damai dan sejahtera serta keharmonian merupakan salah satu faktor kemajuan ini dapat dicapai.

“Oleh itu, perhubungan sila­turahim antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik perlu dipupuk baik dan tiada prasangka yang boleh menjerumuskan kita kepada kehancuran,” katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan, Abdul Rahman Ahmad, 63, yang bekerja sebagai penoreh getah berkata, tiada perkara yang lebih baik untuk dikecapi melainkan kehidupan yang aman dan damai.

“Sebagai rakyat kita harus sama-sama mencipta keamanan dan harus mengelakkan sebarang persengketaan yang boleh me­runtuhkan agama, bangsa dan negara,” kata Abdul Rahman.