Zeti, 70, berkata, Gabenor BNM ketika itu Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein diberitahu semasa mesyuarat itu mengenai pendedahan meluas terhadap BNM, hasil daripada transaksi tukaran asing.

Beliau hadir dalam mesyuarat di London Apartment, London pada 1992 di mana Jaffar menginap dan Penolong Gabenor ketika itu, Datuk Abdul Murad Khalid memberitahu Jaffar mengenai­nya.

“Datuk Abdul Murad membe­ritahu Jaffar mengenai pendedahan meluas terhadap BNM akibat daripada transaksi tukaran asing. Seingat saya Abdul Murad tidak mempunyai butiran me­ngenai transaksi tukaran asing itu,” katanya.

Zeti berkata, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Datuk Dr. Awang Adek Hussin (ketika itu pegawai kanan BNM) .

“Jaffar memberi respons de­ngan berkata ia mungkin kedudukan kasar yang diketahui oleh pihak berdagang dengan BNM. Pihak yang berdagang itu tidak akan mengetahui kedudukan bersih BNM dan beliau berpendapat kedudukan bersihnya jauh lebih rendah daripada itu,” katanya.

Zeti merupakan saksi ke-16 yang memberi keterangan pada prosiding hari kelima Suruhanjaya Siasatan (RCI) untuk menyiasat kes kerugian mata wang asing oleh BNM sekitar tahun 1990-an.

Beliau mengetahui mengenai kerugian mata wang asing yang dialami BNM antara tahun 1988 dan 1994 apabila timbul berita kebimbangan serius terhadap pengurusan rizab BNM.

Katanya, ketika itu, beliau masih bertugas di pejabat di London dan melaporkan diri kepada Pengarah dan Penasihat Jabatan Perbankan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Oleh itu, saya menghubungi seorang pegawai kanan BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu bahawa BNM mengalami kerugian ketara daripada aktiviti pengurusan rizab.

Beliau memberitahu RCI bahawa sebagai Timbalan Gabenor BNM pada 2007, beliau telah mengarahkan bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Manaf supaya menyediakan satu laporan mengenai pengendalian perakaunan untuk pengurusan rizab bagi tahun 1988 hingga 1994 dan laporan itu diserahkan kepada beliau.

Zeti berkata, beliau memberikan arahan itu kepada Abdul Aziz atas sebab ketika itu BNM sedang menyediakan draf akta baharu untuk menggantikan Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan persediaan bagi akta baharu itu yang bermula pada 2007 ialah dengan memberikan penjelasan mengenai mandat pengurusan rizab termasuk pengendalian perakaun­an.

Beliau berkata, terdapat juga perubahan yang dilakukan terhadap pengendalian perakaunan itu apabila berdepan dengan keuntungan dan kerugian timbul daripada pengurusan rizab yang diperlukan untuk memberikan pemahaman lebih jelas.

Zeti menjelaskan, BNM mengambil langkah untuk mempelbagai komposisi rizab dan memperkenalkan sistem pengu­rusan risiko yang ketat dan man­tap sambil menambah bahawa perkara itu memerlukan pen­getahuan mengenai pengendalian perakaunan berhubung transaksi rizab supaya ia boleh dipantau dan risikonya dapat dinilai dan diurus dengan betul.

Semasa membaca kenyataannya, Zeti berkata, berdasarkan maklumat dalam laporan Accounting Treatment 1988-1984 bertarikh 18 April 2007, jumlah kerugian ialah RM32.074 bilion selepas mengambi kira keuntu­ngan RM2.473 bilion bagi tahun 1990.

Zeti berkata, Jaffar mengambil tanggungjawab ke atas kerugian mata wang asing itu dengan cara terhormat dan meletakkan jawatan.

Gabenor perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap semua perkara yang berlaku, se­perti juga dalam sesebuah bank perdagangan dan jika sesuatu berlaku, sama ada (seseorang itu) mengetahuinya atau tidak, beliau perlu bertanggungjawab, katanya.

Zeti berkata, peranan kedua-­dua lembaga pengarah dan pengurusan juga amat penting dalam institusi perbankan dan kewangan. – BERNAMA