Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin berkata, sebagai negara yang memahami sensitiviti masyarakat setempat, bukan sahaja tarian itu dikemukakan untuk kelulusan, malah semua buku, konsep pavilion dan bahan pameran yang dibawa juga mendapat kelulusan penuh.

“Apabila Malaysia mendapat jemputan selaku Negara Tetamu Kehormat kira-kira sebulan lalu, kita bentangkan kepada mereka mengenai konsep Pavilion Malaysia, buku yang dibawa dan persembahan yang akan dibuat.

“Mereka bersetuju dengan persembahan zapin dan ghazal itu dengan syarat ia melibatkan peserta lelaki sahaja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khamis lalu, berlaku kekecohan di RIBF 2017 apabila seorang lelaki warga Arab bertindak menceroboh, merampas mikrofon serta cuba merosakkan gambus ke lantai sebagai membantah persembahan tarian zapin dan ghazal oleh SSMJ.

Zainol Rahim berkata, kejadian itu disebabkan oleh seorang individu yang ekstrem kerana masyarakat Arab Saudi juga mempunyai tarian dan alat muzik mereka sendiri yang dipersembahkan kepada umum dalam RIBF 2017.

“Apa yang berlaku itu tidak melambangkan sikap masyarakat Arab Saudi yang secara keseluruhannya berfikiran terbuka. Segelintir pihak yang berpandangan berbeza adalah lumrah dalam mana-mana masyarakat,” katanya.

Sementara itu, seorang sarjana Arab Saudi, Muhammad al-Asimi menyifatkan insiden itu sebagai memalukan kerana ia jelas me­nyakiti pihak yang diundang sebagai tetamu negara.

Dalam tulisan yang disiarkan portal akhbar tempatan, Alyoum, beliau menasihati orang ramai yang tidak bersetuju dalam apa-apa perkara supaya membuat 
aduan melalui saluran rasmi.

“Mungkin juga individu itu tidak perlu menghampiri tempat yang mereka tidak selesa seperti yang dilakukan oleh manusia berakal lain yang menghormati diri sendiri dan hak kebebasan orang lain,” tegas beliau.

Katanya, rakyat Malaysia menerima Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud (sewaktu lawatan ke Malaysia baru-baru ini) dengan sambutan nasional yang sangat hangat dan itu menun­jukkan hubungan persaudaraan yang mendalam terhadap rakyat Arab Saudi.