Majlis pertunangan Zairil yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Dyana Sofya itu berlangsung di sebuah hotel di sini dengan dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Pihak hotel turut meletak penghadang di bahagian utama pintu masuk ke bilik majlis berlangsung bagi mengelakkan media mengambil gambar.

Zairil pada sidang akhbar ringkasnya selepas majlis tersebut memaklumkan beliau telah selamat melangsungkan pertunangan dengan Dyana Sofya hari ini.

‘‘Terima kasih kerana datang walaupun anda tidak dijemput. Tetapi tidak mengapa. Alhamdulillah, majlis pertunangan ini telah selesai.

‘‘Saya hanya ingin mengatakan bahawa saya sangat gembira, kami sangat gembira, keluarga kami sangat gembira dan sudah tentu ini adalah acara peribadi untuk kedua-dua keluarga kami dan kami menghargai jika anda boleh menghormatinya. Komen lan­jut akan dibuat pada masa yang lain,’’ katanya.

Tambah Zairil, majlis pernikahan pula dijangka akan berlangsung akhir tahun ini.

Pada Oktober 2014, kedua-
dua pasangan itu terpalit de­ngan kontroversi selepas beberapa keping gambar intim mereka tersebar di laman sosial namun dinafikan pasa­ngan berkenaan.

Pasangan itu sekali lagi menjadi perhatian pada April tahun lalu selepas video individu yang didakwa mereka menari mesra turut tular di laman sosial.

Dyana Sofya dalam kenya­taan di laman Facebook ketika itu bagaimanapun tidak menafikan mahupun mengesahkan individu dalam foto itu adalah beliau sebaliknya hanya menyifatkan penyeba­ran gambar itu merupakan pencerobohan privasi dalam kehidupan seseorang.

Zairil ketika itu pula menafikan individu yang menari mesra di dalam video itu ialah beliau dan menyifatkannya sebagai mengarut.

Zairil sebelum ini berkahwin dengan Noor Dahlia Hamzah namun menurut maklumat yang turut tular di media sosial, mereka sudah bercerai Oktober tahun lalu.

Pada PRK Teluk Intan pada 2014, Dyana Sofya tewas de­ngan 238 undi kepada Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, 57, daripada Barisan Nasional (BN) dalam pertan­dingan satu lawan satu bagi merebut kerusi Parlimen Te­luk Intan.