Zainol Fadzi berkata, sebaliknya beliau telah diberikan jawatan baharu yang dilantik oleh Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu minggu lalu iaitu sebagai penasihat khas kepada Menteri Besar yang bertaraf exco.

"Tak adalah kecewa apabila tidak dilantik sebagai exco sebab seperti yang saya katakan dahulu saya tidak letak sebarang syarat apabila menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan Perak untuk membentuk kerajaan negeri.

"Lagipun saya telah dilantik ke jawatan baharu iaitu sebagai Penasihat Khas Menteri Besar bertaraf exco minggu lepas, cukuplah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Zainol Fadzi merupakan antara dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan bersama ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak tersenarai dalam 10 exco kerajaan negeri Perak yang diumumkan minggu lalu.

Mengenai statusnya selepas dipecat daripada UMNO, Zainol Fadzi, beliau kini merupakan ADUN Bebas.

"Ini kerana permohonan saya menyertai PPBM telah ditolak," katanya.

Sementara itu, Zainol Fadzi menyampaikan bantuan makanan kering, tuala, selimut dan kain kepada 63 mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Langkap.

Menurut Zainol, mereka terdiri daripada 17 keluarga dari Kampung Guru, Kampung Degong, Kampung Kilang Kacang dan Kampung Chikus yang berada di kawasan Sungai Manik.

Katanya, pusat pemindahan itu telah dibuka pada kira-kira pukul 5 petang semalam setelah rumah penduduk terlibat dinaiki air akibat limpahan air dari Sungai Chikus.

"Ketika ini paras air masih tidak banyak berubah dan pihak berkuasa akan terus memantau keadaan berkenaan," katanya. - UTUSAN ONLINE