Pada majlis itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, turut menyaksikan penyerahan zakat berjumlah RM597,716.88 oleh QSR Brand (M) Holdings Sdn. Bhd. kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Selain itu, beliau turut melancarkan Tabung Derma Syria Care yang bertujuan menghimpunkan dana untuk disalurkan kepada rakyat Syria pada musim sejuk dengan QSR Brand menyumbangkan RM5,000 hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, aplikasi tersebut dibangunkan bagi memberitahu orang ramai tentang program yang akan dijalankan di tiga masjid utama berkenaan.

"Aplikasi Ini boleh dimuat turun menerusi Google Play secara percuma dan masyarakat boleh mengambil maklumat tentang ceramah-ceramah atau program yang bakal diadakan di tiga masjid berkenaan.

"Tidak lagi perlu tanya masjid apa program yang akan diadakan minggu ini. Menerusi aplikasi, boleh terus pantau program dan menyertainya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada karnival itu.

Menurut Hakimah, sistem mudah dan mesra pengguna itu akan diperluaskan dengan data-data masjid, dan imam sebelum dikembangkan ke masjid- masjid lain berdasarkan respons pengguna.

Karnival Planet Ummah Masjid Utama yang julung kali diadakan ini berlangsung selama empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini di Masjid Putra dan Dataran Masjid Putra di sini.

Program ini merupakan satu bentuk pengimarahan ke arah khaira ummah (sebaik-baik umat) dan dianjurkan secara kerjasama antara tiga masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan serta beberapa agensi kerajaan dan juga swasta, dan dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam. - BERNAMA